Tuesday, March 9, 2010

Sukan Tahunan Keempat SMK Chini Dua dan persediaan SMK Pekan untuk MSSD 2010

Saya masih belum puas berbicara fasal sukan. Saya percaya budak yang suka bersukan ada kelebihannya. Saya juga berasa belum gembira dengan prestasi daerah Pekan di peringkat negeri Pahang, kita duduk di bawah. Inilah masalah yang bermain dalam kepala saya. Kalau bercakap, saya mesti rujuk kepada pengalaman sendiri. Sewaktu di sekolah rendah dan menengah saya suka ambil bahagian dalam sukan dan permainan. Saya dapat bimbingan dari guru yang mahir. Bila mula jadi guru di SMK Jerantut tahun 1978 terus diberi tugas jadi Ketua Guru Rumah Mat Kilau. Saya tidak sukar menguruskan sesi latihan kerana ada pengalaman. Yang sukarnya ialah kurang dapat kerjasama rakan guru yang lain. Saya tidak berani beri arahan kepada mereka yang lebih senior. Nasib baik ramai ahli rumah yang berkebolehan. Saya banyak dapat bantuan mereka. Bukan nak angkat bakul, tiga tahun saya pegang jawatan itu, tiga tahunlah rumah Mat Kilau johan keseluruhan. Lepas itu saya diberi tugas yang lain pula hinggalah tahun ketujuh saya diberi tugas "Marshal". Macam-macam kerja saya buat, ada kalanya saya tolong cikgu Basir dan cikgu Yusof Osman tolak roller buat line dan macam-macam lagi. Sewaktu di bangku sekolah saya menerima pengalaman mengambil bahagian dalam acara sukan. Sewaktu mula kerja hingga tahun kelapan saya belajar menguruskan sukan. Semuanya sangat berfaedah.

7 Mac 2010, saya menghadiri majlis sukan SMK Chini 2. Walaupun baru berusia empat tahun, sekolah ini yang diketuai oleh Encik Azmi bin Mohd Noor telah berjaya mengendalikan sukan yang meriah. Saya lihat pelajar sangat gembira. Banyak juga bakat-bakat yang boleh ketengahkan. Ada diselitkan acara lontar peluru untuk jemputan, guru dan ibubapa. Saya mengambil bahagian sebagai peserta pertama. Teknik lontar masih ingat tetapi tenaga sudah kurang. Saya tewas kepada sembilan peserta yang lebih handal. Saya lihat ramai pelajar SMKC2 yang berpotensi menang di peringkat MSSD namun begitu mereka perlu berlatih secara berterusan selama satu bulan. Kehadiran ibubapa masih kurang, pihak sekolah dan PIBG perlu cari jalan agar lebih ramai ibubapa hadir. Ramai penyokong masuk ke tengah padang, semangat menyokong sangat hebat, satu semangat yang terpuji tetapi mereka sepatutnya berada di kawasan rumah masing-masing sahaja. Itulah gunanya jawatan "marshal". Saya berharap guru terus melatih peserta untuk mewakili sekolah ke MSSD Pekan hujung bulan Mac ini. Saya mencabar pelajar SMKC2 agar dapatkan sekurang-kurang tujuh emas.

8 Mac 2010, 5.20ptg. Saya bersama encik Kamaludin Latif KU SPK PPD Pekan. Kami mahu melihat perjalanan sesi latihan di SMK Pekan. Dari jauh telah kelihatan beberapa kelompok pelajar dan guru, ada yang berlatih baling cakra, lembing dan peluru. Cikgu Nasarudin yang jadi jurulatihnya. Kumpulan larian pula dikendalikan oleh cikgu Suhaimi. Mereka sedang melompat penghalang yang berjujut. Ini adalah satu latihan yang sistematik. Selepas itu mereka berlatih lari 100meter. Di suatu penjuru kelihatan pasukan bola tampar sekolah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Kuliyah Abu Bakar. Secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati dengan susunan latihan. Tahniah dan terima kasih cikgu sanggup berpanas bersama murid. Itulah satu sifat Watak Pendidik. Teruskan, pecahkan monopoli sekolah di tepi simpang itu.

No comments: