Wednesday, June 16, 2010

Memperkasa Kepimpinan Pengetua/ Guru Besar untuk menjayakan School Improvement Programs (SIP)



16 Jun 2010. Hari ini saya menghadiri Program Pengurusan Pementoran Kementerian Pelajaran Malaysia di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. YAB Tan Sri Dato'Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd Yasin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. TPM meminta Pengarah dan PPD melaksanakan perkara yang berikut;

1. Mendokong dan melaksanakan dasar2 kerajaan 2. melahirkan guru cemerlang kelas pertama 3. komitmen yang tinggi dalam tugas 4. bertindak secara proaktif 5. reaksi profesional 6. membetulkan kekeliruan yang timbul 7. menterjemahkan daya saing negara melalui pendidikan yang berkualiti dan modal insan 8. berfikir dan bertindak secara kreatif dan "di luar kotak".

Saya terus teringat kepada 63 orang penegtua dan guru besar di daerah Pekan. Kita adalah pemimpin di baris hadapan peringkat akar umbi yang akan menerjemahkan SIP. Saya terus mencari bahan bacaan yang boleh dijadikan panduan kepada kita untuk memperkasakan kepimpinan peringat sekolah. Saya memilih bahan dari http://kulanzsalleh.com/. Sila telitikan tulisan berikut.


CIRI-CIRI PEMIMPIN YANG BAIK

Sekiranya anda ingin menjadi pemimpin yang baik, dia hendaklah mengamalkan perkara-perkara yang diketahui, dilihat dan diterima seperti berikut:


  • Seseorang pemimpin harus bersedia untuk belajar dari siapa sekalipun apa yang dia tidak tahu kerana kepimpinan itu sesuatu yang boleh terus menerus dipelajari dari latihan dan pengalaman.

  • Seseorang pemimpin mesti berani memberi jawapan yang tegas kepada sesuatu yang difikirkan baik atau tidak baik kepada organisasinya.

  • Seseorang pemimpin yang baik berupaya memudahkan semua kerja, dengan menjadikannya kerja-kerja biasa yang boleh dilakukan oleh kebanyakkan orang bawahannya dan tidak memerlukan pakar khusus.

  • Seorang pemimpin yang baik mempunyai perhubungan baik dengan orang-orang bawahannya. Dia mengenali mereka sebagai individu-individu yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Pada kebiasaannya, pemimpin yang baik jarang berkasar dengan orang-orang bawahannya.

  • Seseorang pemimpin yang baik pandai membahagikan masa. Dia tahu bila masa bertugas dan bila masa di luar tugas dan bertindak bersesuaian dengan keadaan. Pemimpin yang tidak cekap selalu merasa runsing dan bimbang dengan hal-hal tugas di mana juga dia berada.

  • Dalam sesebuah organisasi terdapat pelbagai jenis manusia: ada yang malas, ada yang rajin dan ada yang boleh diharap serta ada yang tidak boleh diharap. Seorang pemimpin yang bijak tidak lemah semangat dengan keadaan ini. Dia menerima hakikat sedemikian dan menggunakan sebaik-baiknya apa yang ada.

  • Seorang Pemimpin yang baik tahu dan mahu berbincang dengan orang-orang bawahannya mengenai sesuatu hal yang dia sendiri tidak pasti. Dia tidak hanya pandai mengeluarkan arahan saja.

  • Seorang pemimpin yang baik mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman mengenai tugas dan manusia.

  • Seorang pemimpin yang baik pandai memperkembangkan kebolehan bekerja orang bawahannya. Dia tahu mengagihkan tugas kepada mereka.

  • Seorang pemimpin yang bijak tidak sekali-kali lemah semangat dan cepat mengaku kalah apabila berdepan dengan sesuatu masalah. Kalau masalah tidak dapat diselesaikan dengan satu cara, dia menggunakan cara lain. Dia sentiasa bersikap positif.

Melalui perbincangan mengenai ciri-ciri pemimpin berkesan di atas, beberapa kesimpulan dapat dibuat. Diantaranya ialah kepimpinan ialah perlakuan seseorang yang boleh menggerakkan orang lain untuk berfikir, merasa, bertindak dengan cara-cara tertentu. Dalam hal ini seorang pemimpin harus mengetahui keperluan dan motif orang-orang yang berkerja dengannya dan harus menitikberatkan pencapaian matlamat kumpulan. Dia juga harus berjaya mengekalkan kekuatan yang ada pada kumpulannya untuk menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat masa depan.


Seseorang pemimpin boleh menonjolkan kepimpinannya hanya melalui penglibatannya dalam kumpulan. Dalam kumpulan pula kekerapan interaksi bersama kakitangan membolehkan keberkesanan kepimpinannya. Kalau seorang pemimpin sentiasa “bersembunyi” dalam biliknya dan tidak mempunyai masa untuk berinteraksi dengan kakitangannya, maka kepimpinannya kurang berkesan.


Kepimpinan bukan bergantung sepenuhnya kepada jawatan. Status jawatan yang disandanghanya satu daripada punca potensi kepimpinan. Kejayaan kepimpinan adalah fungsi kedua-dua kuasa formal melalui jawatan dan penerimaan orang-orang bawahan secara tidak formal yang bukan kerana jawatan.


Dipetik daripada http://kulanzsalleh.com/ciri-ciri-pemimpin-yang-baik

No comments: