Thursday, February 4, 2010

Antah dalam nasi

Seawaktu hendak menyuap nasi, tiba-tiba ternampak antah di celah nasi, apa nak buat?
Kalau ditelan juga alamatnya memudaratkan perut. Kulit antah yang tajam boleh melukakan dinding usus. Kalau sabar, ketepikan antah itu. Ada orang merungut kepada isteri, akibatnya boleh bermasam muka. Kasihan kepada isteri ye. Jangan-jangan isteri mengesat air mata sewaktu membasuh pinggan?

Antah dan melukut dalam beras
Ingat tak waktu emak kita nak menanak nasi dulu. Ditampinya beras itu dalam nyiru, akhirnya antah dan melukut berkumpul di suatu bucu. Lepas itu antah dan melukut itu di keluarkan. Selalunya taburkan antah dan melukut itu ke laman rumah, maka berebutlah ayam.
Emak saya lain sikit, disimpannya antah itu di dalam bujang. Beberapa hari kemudian dapat segengam. Emak dan jiran-jirannya mengumpulkan antah itu hingga dapat segantang. Lepas itu mereka tumbuk menggunakan lesung tangan, akhirnya dapatlah beras kelas dua, bentuknya kompot dan patah. Orang hari ini kata beras B2. Tiada siapa yang mahu. Emak gunakan pengisar, akhirnya jadi tepung beras. Tepung dijemur hingga kering. Beberapa minggu kemudian emak bersama Mak Andak dan Maklum Minah bergotong royong buat kueh bangkit dengan menggunakan tepung beras itu yang diadunkan dengan sedikit gula. Kueh bangkit nampak cantik dan putih. Terasa berselera nak makan, tetapi emak suruh hantar ke setiap rumah jiran dulu.
Kreativiti dan inovasi sebenarnya telah dilakukan oleh orang tua kita.

Semalam saya memberi taklimat projek PROLIT di SK Peramu Jaya bagi kelompok Bandar dan Peramu. Satu projek memulihkan murid darjah enam yang tidak lancar membaca atau boleh membaca tetapi tidak faham. Saya memberi penerangan kepada 22 orang Guru Besar agar mereka faham dan dapat menghayatinya. Pegawai saya Nordin dan Norosda ikut sekali. Mereka menjelaskan PROLIT ini dengan lebih terperinci lagi. Hajjah Fauziah binti Shamsuddin, GB Inderashah Bandar selaku pengarah projek turut membentangkan hasil pemerhatiannya terhadap program PROLIT di kelompok Chini dan Paloh Hinai minggu lepas. Semuanya baik, budak berminat belajar dan fasilitator juga seronok.

Untuk melangkah maju, kita tidak sanggup nak tinggalkan budak-budak yang tercicir itu, kita mahu jadikan mereka lulus dan pandai. Kalau mereka boleh beralih dari E kepada D dan yang D beralih ke C sudah cukup baik. Boleh mengecilkan GPS juga. Lebih mulia dari itu, haluannya kita cuba betulkan. Ingat, “Tersilap seinci di pelabuhan, akan tersasar beribu batu di lautan.”

Antah bukan setakat boleh jadi beras tetapi boleh dijadikan kueh yang kelihatan cantik dan sedap. Kita ulang balik apa yang emak kita lakukan dahulu, pasti berjaya. Semangat dan usaha melaksanakan PENDIDIKAN PEKAN MELANGKAH MAJU mesti dihayati dan dipikul bersama.

Sabtu 6/2/2010 akan berjalan;
  1. PROLIT BM di SK Seri Terentang
  2. PROLIT BM di SK Inderahah Bandar
  3. PROLIT BM di SK Peramu Jaya
  4. Kem Kecemerlangan BI di SK Ganchong
  5. Kem EASYMATHS di SMK Lepar

Mari kita hadir untuk beri sokongan.

No comments: