Sunday, January 31, 2010

Pusat Sumber Sekolah 4 Bintang dan Sudoku

Arah tuju tahun 2010 ini amat jelas. Sejak Disember lalu saya telah mencanang bahawa semua PSS daerah Pekan mesti mencapai anugerah 4 bintang. Semua pemimpin sekolah tahu dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Daerah Pekan pada 7 Disember 2009, Yang Berbahagia Dato' Gafar Pengarah IAB telah melancarkan PSS 4 Bintang ini. Apakah faedahnya kita mengejar PSS 4 Bintang ini? Untuk mencapai 4 bintang, kita telah menggariskan sembilan langkah yang perlu dilaksanakan. Pihak PPD telah mencetak banner dan mengedarkan kepada semua sekolah. Banner itu hendaklah digantung di tempat yang kerap dijenguk oleh warga sekolah agar usaha ke arah itu dihayati oleh semua.

Minggu lepas saya melawat empat sekolah. Saya bertanya mana banner PSS 4 bintang? Jawapan pertama mengatakan masih di pejabat, maknanya belum digantung lagi. Satu lagi jawapan sudah gantung tetapi ditiup angin. Saya berharap pemimpin sekolah lebih peka tentang PSS 4 bintang ini. Faaedahnya akan dapat kepada sekolah dan murid-murid. Untuk mendapatkan 4 bintang mesti ada aktiviti membaca yang aktif di kalangan murid. Buku NILAM mesti banyak rekod bacaan. Inilah antara faedahnya. Kita menanam sikap minat membaca buku. Aktiviti DEAR yang digerakkan waktu pagi itu adalah satu daripaada aktiviti sokongan PSS 4 Bintang. Saya tahu banyak sekolah yang telah melaksanakan aktiviti DEAR. Tahniah! Kejayaan aktiviti DEAR terletak pada komitmen Pengetua/ Guru Besar. Guru-guru adalah penggeraknya, murid mengikut sahaja. Usaha ini berjalan berterusan. Kita menyahut cabaran Willing To Change and Consistency. Mesti ada sikap sanggup mahu berubah dan seterusnya mengamalnya secara berterusan. Ini adalah pelan jangka panjang ke arah Pendidikan Pekan Melangkah Maju.

PPD juga mahu menerapkan sikap suka berfikir dan marathon minda. Langkah yang diambil ialah mencetak banner Sudoku dan diedarkan ke sekolah menengah. Sudoku adalah aktiviti menyusun angka 1 hingga 9 dalam petak 9x9. Sewaktu lawatan ke sekolah menengah, hanya di SK Bandar 2 sahaja nampak banner Sudoku terpampang di lorong laluan murid. Saya berharap pemimpin sekolah berikan sedikit waktu untuk menggalakkan pelajar meneroka Sudoku ini. Aktiviti berfikir akan mengasah minda yang kreatif. Saya berharap mendapat penyokong yang ramai untuk menjayakan agenda ini.

Jumpa lagi.

No comments: