Saturday, January 30, 2010

Lahir Pada Hari Pekan Digital Dirasmi Oleh PM


Assalamualaikum dan salam 1Malaysia
Blog ini lahir pada hari pelancaran Pekan Digital hari ini oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia di Pekan. Saya akan menggunakan blog ini untuk berkomunikasi dengan Pengetua, Guru Besar, guru-guru dan masyarakat daerah Pekan khusus tentang usaha memacu pendidikan daerah Pekan selaras dengan Pelan Transformasi Kerajaan. Ruangan ini akan dijadikan pentas mewar-warkan idea, perancangan dan laporan aktiviti yang menterjemahkan NKRA ( Bidang Keberhasilan Utama Kebangsaan ).
Hari ini juga merupakan hari pertama kami melaksanakan projek PROLIT ( PROGRAM LITERASI BAHASA MELAYU) di SK Bandar Dua, SK Kota Perdana dan di SK Felda Chini 3&5. PROLIT adalah satu program khusus kepada murid tahun enam yang masih belum menguasai kemahiran membaca. Hari ini seramai 97 orang murid dari kelompok Chini dan Paloh Hinai berkumpul di tiga sekolah tersebut. Mereka dibimbing oleh Fasilitator PROLIT yang terdiri daripada 41 orang pelajar tingkatan enam atas SMK Ahmad, Pekan. Saya mendapat laporan awal daripada penyelaras projek Encik Nordin, Tn Shikh Khashimi, Puan Norosda dan Encik Ahmad A Bakar GB SK Bandar 2 mengatakan murid-murid sangat suka mengikuti program ini. Tahniah kepada semua yang terlibat. Ini adalah satu usaha menyelamatkan mereka yang tercicir. Terima kasih kepada Pengetua SMK Ahmad, cikgu Hassan Mutalib yang membenarkan pelajar mereka mengambil bahagian dalam kerja kemasyarakatan ini. Tahniah! Terima kasih Encik Mustafar GB Kota Perdana dan Tuan Haji Ghani GB SK Chini 3&5 yang memberi laporan terkini. Saya berharap kehadiran hari esok lebih baik lagi.
Hari ini, di SK Tanjung Agas dan SK Inderashah Bandar, Kuala Pahang berlangsungnya program bimbingan Matematik murid tahun enam yang dikendalikan oleh Fasilitator Matematik. Pengarah program ialah Puan Dalijatonseha bt Mohd Khalid. Kami mahu melihat murid sekolah di tepi pantai maju seperti murid lain juga. Saya menerima maklumat mengatakan murid di SK Tanjung Agas sangat minat mengikuti program ini. Kami mahu meluaskan lagi program ini ke sekolah lain juga.
Kepada SK Pulau Serai, sila tubuhkan kumpulan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dikalangan murid tahun enam yang cemerlang untuk membantu rakan sekelas mereka. Saya mahu jadikan sekolah ini contoh pelaksnaan aktiviti PRS Matematik yang berjaya. Saya harap GB, GPK dan guru Matematik SK Pulau Serai dapat melaksanakan apa yang kita putuskan dua minggu yang lalu.
Selamat berjaya.

No comments: