Sunday, June 20, 2010

GURU YANG DISUKAI MURID

Seorang Pengetua sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak telah membuat kajian terhadap murid-murid beliau mengenai guru yang mereka sukai.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa murid-murid suka kepada guru-guru yang menepati masa, komited terhadap tugas dan kecindan (suka berjenaka).

Dapatan kajian beliau menunjukkan murid suka kepada guru yang menetapi masa iaitu masuk kelas tepat pada waktunya dan keluar (menghabiskan sesi pengajaran) kelas juga tepat pada waktunya. Ini menunjukkan bahawa warga guru perlu memberikan penekanan kepada aspek pengurusan masa yang cekap dan berkesan.

Guru yang menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas mereka adalah merupakan guru yang disanjungi oleh murid. Warga guru perlu menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas masing-masing. Guru perlu melakukan sesuatu tugas dengan bersungguh-sungguh supaya mereka dicontohi oleh murid. Dalam satu kajian lain, dapatan kajian menunjukkan ramai kalangan guru mengamalkan kaedah pengajaran dengan meniru apa yang telah dilakukan oleh guru mereka terdahulu. Ini bermakna sekiranya kita mengamalkan kaedah pengajaran yang berkesan, maka anak didik kita sentiasa memerhati dan memberikan keutamaan sehinggakan sekiranya mereka menjadi guru kelak, apa yang kita lakukan terhadap mereka hari ini akan menjadi ikutan mereka kelak. Konsep 'Bapak Borek, Anak Rintik' berlaku disini. Kalau cikgu borek, maka anak muridnya akan menjadi rintik?Aspek yang tidak kurang penting ialah guru yang pandai berjenaka.

Amalan jenaka atau kecindan akan membantu mengurangkan jurang pemisah komunikasi antara guru dan murid. Gelak tawa semasa berinteraksi antara guru dengan murid akan menjadikan hubungan guru-murid lebih mesra dan erat. Ingatlah wahai para guru, anak murid kita sentiasa memerlukan 'kawan' dalam kehidupan sosial mereka dalam persekitaran sekolah. Selain daripada rakan sekelas, atau sekolah, guru adalah merupakan kawan yang boleh mereka kongsi cerita dan jenaka yang bukan semata-mata berunsurkan akademik.

Dipetik daripada
http://deriakacamata.blogspot.com

Saturday, June 19, 2010

Adakah kita mahu melahirkan anak anak luar bandar cemerlang dalam pendidikan?

Sudah lama saya simpan hasrat ini. Tidak boleh disimpan lagi dalam kepala ini, mesti dihamburkan. Hari ini mahu curahkan untuk tatapan rakan guru dan ibu bapa di daerah Pekan.

Kita sentiasa mahu 5A UPSR, 9A PMR, 11A SPM dan 5A STPM. Memang itu hasrat dan cita-cita kita. Kita mahu anak didik kita cemerlang, maka kita bekerjalah berhempas pulas. Ibu bapa juga bersungguh-sungguh. Pemimpin kita terutama YAB Dato' Seri Najib ikut serta memberi sokongan penuh. Kita bekerja setiap tahun mengejarnya. Pada saya ini adalah satu misi yang mesti kita laksanakan. Ini sebenarnya satu matlamat jangka pendek.

Usaha melahirkan generasi yang cemerlang dalam pendidikan adalah satu matlamat jangka panjang. Saya mahu merujuk kepada pandangan dan tiru idea-idea besar seperti berikut;

  1. Fellow Penyelidikan Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Syed Hussein Alatas yang diinterviu oleh Utusan Malaysia pada 20 Mei 2001. (Kupasan penuh boleh rujuk kepada tajuk Budaya Malas Membaca Buku dalam internet ini.
  2. Polisi Presiden Wilson, Presiden USA sekita tahun 1820an (Kupasan penuh rujuk Sejarah Pembinaan Negara Bangsa Amarika atau catatan ringkas dari buku Watak Pendidik hasil tulisan saya m/s 144 hingga 146) tentang budaya membaca, menulis dan mencipta.
  3. Polisi presiden Presiden Park Chung Hee membangun semula Korea Selatan yang hancur dan papa selepas perang dengan Jepun(Kupasan penuh boleh rujuk buku Negara Asia Timur; Mengapa Pendapatan Perkapita Berbeza - Ishihara atau catatan ringkas dari buku Watak Pendidik hasil tulisan saya m/s 142 hingga 144).

Saya rumuskan begini;

  1. Kita mesti belajar dari Sejarah (walaupun saya hanya belajar Sejarah hingga tingkatan tiga sahaja tetapi saya suka baca buku bercorak sejarah dan perjuangan membangunkan negara selepas disarankan oleh Tun Mahathir).
  2. Guru dan ibu bapa mesti ada kesedaran yang mendalam tentang budaya membaca.
  3. Anak mengikut atau meniru apa yang kita lakukan.
  4. Melentur buluh mesti dari rebung.
  5. Aktiviti membaca yang berterusan.
  6. Sanggup terlibat dalam aktiviti membaca.
  7. Sanggup berbelanja untuk aktiviti membaca misalnya membeli buku.

Bukan susah sangat untuk melakukannya, yang penting mesti ada tindakan yang berterusan bertahun-tahun. USA sewaktu pimpinan presiden Wilson mengambil masa 20 tahun. Korea Selatan sewaktu pemerintahan presiden Pack CH (walaupun kuku besi tetapi ada hasilnya) memakan masa 15 tahun. Mesti ada sikap sabar dan percaya apa yang kita buat itu akan mendapat hasil kemudian hari (ini bukan kerja tanam ubi kayu, empat bulan boleh cabut).

Sebenarnya kita sudah memulakannya sejak awal tahun 2010. Contoh PSS 4 bintang dan program DEAR. Saya perhatikan kebanyakan (semua ke?) sekolah di daerah Pekan sedang berjuang melaksanakannya. Jika ada yang belum bermakna anda telah ketinggalan.

Yang belum dilakukan ialah mengajak ibu bapa turut serta. Walau bagaimanapun, ibu bapa yang ada kesedaran sentiasa memupuk semangat sukakan buku ini. Ibu bapa di Kincir, Belimbing, Kuala Pahang, Bebar, Nenasi, Serandu, Serambi, Temai, Padang Rumbia, Mambang, Paloh Hinai, Runchang dan Lepar bagaimana agaknya?

Saya akan berbicara lagi fasal perkara penting ini. Anda dipersilakan beri komen.

Friday, June 18, 2010

Seorang Guru Tua

Guruku yang baik
Masih lagi mengajar
Sedang aku kini sudah besar
Dulu wajahnya muda
Kini rambut memutih kepala
Ada anak-anak muridnya kini memegang jawatan tinggi
Tidak kurang pula bergelar usahawan berjaya
Guruku yang baik
Masih di situ
Masih memandu kereta lama
Masih menuju sekolah yang sama
Tiada kelihatan jemu
Dari air mukanya tiada kedengaran bosan
Dari suara bibirnya
Dia gigih mengenggam tanggungjawab yang diamanahkan
Seorang Guru Tua
Dia masih disitu
Berdiri sebagai guru
Menabur jasa-jasa
Dialah pendidik bangsa !!!

Dipetik dari http://smeh.tripod.com
Nur Akidah Bt. Mohd Azhar

Wednesday, June 16, 2010

Memperkasa Kepimpinan Pengetua/ Guru Besar untuk menjayakan School Improvement Programs (SIP)



16 Jun 2010. Hari ini saya menghadiri Program Pengurusan Pementoran Kementerian Pelajaran Malaysia di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. YAB Tan Sri Dato'Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd Yasin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. TPM meminta Pengarah dan PPD melaksanakan perkara yang berikut;

1. Mendokong dan melaksanakan dasar2 kerajaan 2. melahirkan guru cemerlang kelas pertama 3. komitmen yang tinggi dalam tugas 4. bertindak secara proaktif 5. reaksi profesional 6. membetulkan kekeliruan yang timbul 7. menterjemahkan daya saing negara melalui pendidikan yang berkualiti dan modal insan 8. berfikir dan bertindak secara kreatif dan "di luar kotak".

Saya terus teringat kepada 63 orang penegtua dan guru besar di daerah Pekan. Kita adalah pemimpin di baris hadapan peringkat akar umbi yang akan menerjemahkan SIP. Saya terus mencari bahan bacaan yang boleh dijadikan panduan kepada kita untuk memperkasakan kepimpinan peringat sekolah. Saya memilih bahan dari http://kulanzsalleh.com/. Sila telitikan tulisan berikut.


CIRI-CIRI PEMIMPIN YANG BAIK

Sekiranya anda ingin menjadi pemimpin yang baik, dia hendaklah mengamalkan perkara-perkara yang diketahui, dilihat dan diterima seperti berikut:


  • Seseorang pemimpin harus bersedia untuk belajar dari siapa sekalipun apa yang dia tidak tahu kerana kepimpinan itu sesuatu yang boleh terus menerus dipelajari dari latihan dan pengalaman.

  • Seseorang pemimpin mesti berani memberi jawapan yang tegas kepada sesuatu yang difikirkan baik atau tidak baik kepada organisasinya.

  • Seseorang pemimpin yang baik berupaya memudahkan semua kerja, dengan menjadikannya kerja-kerja biasa yang boleh dilakukan oleh kebanyakkan orang bawahannya dan tidak memerlukan pakar khusus.

  • Seorang pemimpin yang baik mempunyai perhubungan baik dengan orang-orang bawahannya. Dia mengenali mereka sebagai individu-individu yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Pada kebiasaannya, pemimpin yang baik jarang berkasar dengan orang-orang bawahannya.

  • Seseorang pemimpin yang baik pandai membahagikan masa. Dia tahu bila masa bertugas dan bila masa di luar tugas dan bertindak bersesuaian dengan keadaan. Pemimpin yang tidak cekap selalu merasa runsing dan bimbang dengan hal-hal tugas di mana juga dia berada.

  • Dalam sesebuah organisasi terdapat pelbagai jenis manusia: ada yang malas, ada yang rajin dan ada yang boleh diharap serta ada yang tidak boleh diharap. Seorang pemimpin yang bijak tidak lemah semangat dengan keadaan ini. Dia menerima hakikat sedemikian dan menggunakan sebaik-baiknya apa yang ada.

  • Seorang Pemimpin yang baik tahu dan mahu berbincang dengan orang-orang bawahannya mengenai sesuatu hal yang dia sendiri tidak pasti. Dia tidak hanya pandai mengeluarkan arahan saja.

  • Seorang pemimpin yang baik mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman mengenai tugas dan manusia.

  • Seorang pemimpin yang baik pandai memperkembangkan kebolehan bekerja orang bawahannya. Dia tahu mengagihkan tugas kepada mereka.

  • Seorang pemimpin yang bijak tidak sekali-kali lemah semangat dan cepat mengaku kalah apabila berdepan dengan sesuatu masalah. Kalau masalah tidak dapat diselesaikan dengan satu cara, dia menggunakan cara lain. Dia sentiasa bersikap positif.

Melalui perbincangan mengenai ciri-ciri pemimpin berkesan di atas, beberapa kesimpulan dapat dibuat. Diantaranya ialah kepimpinan ialah perlakuan seseorang yang boleh menggerakkan orang lain untuk berfikir, merasa, bertindak dengan cara-cara tertentu. Dalam hal ini seorang pemimpin harus mengetahui keperluan dan motif orang-orang yang berkerja dengannya dan harus menitikberatkan pencapaian matlamat kumpulan. Dia juga harus berjaya mengekalkan kekuatan yang ada pada kumpulannya untuk menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat masa depan.


Seseorang pemimpin boleh menonjolkan kepimpinannya hanya melalui penglibatannya dalam kumpulan. Dalam kumpulan pula kekerapan interaksi bersama kakitangan membolehkan keberkesanan kepimpinannya. Kalau seorang pemimpin sentiasa “bersembunyi” dalam biliknya dan tidak mempunyai masa untuk berinteraksi dengan kakitangannya, maka kepimpinannya kurang berkesan.


Kepimpinan bukan bergantung sepenuhnya kepada jawatan. Status jawatan yang disandanghanya satu daripada punca potensi kepimpinan. Kejayaan kepimpinan adalah fungsi kedua-dua kuasa formal melalui jawatan dan penerimaan orang-orang bawahan secara tidak formal yang bukan kerana jawatan.


Dipetik daripada http://kulanzsalleh.com/ciri-ciri-pemimpin-yang-baik