Saturday, February 6, 2010

Pelajar tingkatan enam SMK Chini juga mahu ikut serta PROLIT BM

Semalam saya sangat gembira dapat berjumpa pelajar tingkatan enam SMK Chini seramai 58 orang, guru-guru dan Tuan Haji Razak, Pengetua. Hadir sama cikgu Shamzul dari SK Chini 3. Saya bercakap memberi motivasi kepada pelajar. Saya memuji pengurusan SMKC menyokong PROLIT BM. Cikgu Shamzul pula menerangkan kaedah mengendalikan bimbingan penulisan BM. Sangat berfaedah, kini saya tahu cara-cara menulis karangan yang boleh dapat markah penuh. Fasilitator seramai 58 orang ini akan berhadapan dengan cabaran hebat kerana di kelompok Chini dan Paloh Hinai terdapat ramai murid yang masih cekap membaca. Saya mahu misi ini berjalan laju. Saya akan berjumpa dengan lima orang Guru Besar di gugusan Chini ini minggu depan. Kini kita ada 98 orang fasilitator PROLIT BM, satu ketumbukan yang cukup gah.
Melawat sekolah pada hari Sabtu 6 Februari 2010
9.15pagi saya sampai di SK Seri Terentang. Hjh Sa’adah, Guru Besar dan Shikh Khasimi menunggu saya. Kami terus melawat ke kelas PROLIT BM. Setiap kumpulan lima hingga lapan orang dikelolakan oleh fasilitator (pelajar tingkatan enam SMK Ahmad). Seramai 59 orang murid dari SK Ahmad, SK Seri Biram, SK Tanjung Medang dan tuan rumah. Saya menjengkuk kelas demi kelas, ada lapan kelas semuanya. Saya lihat fasilitator sangat berketerampilan, macam guru muda aja, yang lelaki sungguh meyakinkan. Saya tanya murid mahu tak belajar lagi esok? Semua kata mahu. Mereka dibimbing membina ayat daripada gambar. Saya nampak hasil kerja mereka, banyak yang betul tetapi masih ada juga yang silap eja.
10.30pagi saya bersama cikgu Hassan sampai SK Inderashah Bandar. Hjh Fauziah, Pn Rismawati dan GPK HEM sedang berbual di kantin. Saya dibawa melawat kelas PROLIT BM. Ada 34 orang murid semuanya. Mereka adalah murid SK Serandu dan SKIS. Fasi dan murid semuanya kelihatan bersungguh-sungguh.
Saya mendapat pesanan SMS daripada Nordin, “Tuan, saya di SK Peramu Jaya, kehadiran 73 pelajar, tq”.
11.45pagi, saya sampai di SK Langgar. Kali ini saya memantau perjalanan program kecemerlangan Bahasa Inggeris UPSR bagi SK Pahang Tua, SK Gancung, SK Pulau Rusa dan SK Langgar. 40 orang semuanya. Murid SK Pulau Manais tidak hadir. Cikgu Jamaliah GB Tanjung Agas selaku pengurus program menerangkan analisis ujian pra. Beliau menyatakan kelemahan yang paling nyata ialah bertumpu kepada soalan vocabulary. Ada beberapa soalan hamper semua orang salah. Mereka telah tahu di mana kelemahan utama, saya pulangkan kepada kepakaran guru-guru BI mengambil langkah awal untuk mengatasinya. Encik Abdullah, Guru Besar SK Langgar membawa kami melawat kelas demi kelas. Ada enam kumpulan semuanya.Guru sedang pulun membimbing murid. Puan Noraini, guru cemerlang selaku pakar rujuk turut sama membantu guru BI. Saya lihat pogram ini berjalan sangat teratur. Tahniah kepada guru yang terlibat atas kegigihan anda semua. Usaha seperti ini akan diulangi sekali lagi dan akan dilaksanakan di kelompok lain pula.
Kita memulakan langkah sejak awal pagi agar tidak tercicir. Kita juga mesti bergerak laju, kalau tidak orang akan memintas kita. Inilah cara kita memastikan PENDIDIKAN PEKAN MELANGKAH MAJU.

Thursday, February 4, 2010

Antah dalam nasi

Seawaktu hendak menyuap nasi, tiba-tiba ternampak antah di celah nasi, apa nak buat?
Kalau ditelan juga alamatnya memudaratkan perut. Kulit antah yang tajam boleh melukakan dinding usus. Kalau sabar, ketepikan antah itu. Ada orang merungut kepada isteri, akibatnya boleh bermasam muka. Kasihan kepada isteri ye. Jangan-jangan isteri mengesat air mata sewaktu membasuh pinggan?

Antah dan melukut dalam beras
Ingat tak waktu emak kita nak menanak nasi dulu. Ditampinya beras itu dalam nyiru, akhirnya antah dan melukut berkumpul di suatu bucu. Lepas itu antah dan melukut itu di keluarkan. Selalunya taburkan antah dan melukut itu ke laman rumah, maka berebutlah ayam.
Emak saya lain sikit, disimpannya antah itu di dalam bujang. Beberapa hari kemudian dapat segengam. Emak dan jiran-jirannya mengumpulkan antah itu hingga dapat segantang. Lepas itu mereka tumbuk menggunakan lesung tangan, akhirnya dapatlah beras kelas dua, bentuknya kompot dan patah. Orang hari ini kata beras B2. Tiada siapa yang mahu. Emak gunakan pengisar, akhirnya jadi tepung beras. Tepung dijemur hingga kering. Beberapa minggu kemudian emak bersama Mak Andak dan Maklum Minah bergotong royong buat kueh bangkit dengan menggunakan tepung beras itu yang diadunkan dengan sedikit gula. Kueh bangkit nampak cantik dan putih. Terasa berselera nak makan, tetapi emak suruh hantar ke setiap rumah jiran dulu.
Kreativiti dan inovasi sebenarnya telah dilakukan oleh orang tua kita.

Semalam saya memberi taklimat projek PROLIT di SK Peramu Jaya bagi kelompok Bandar dan Peramu. Satu projek memulihkan murid darjah enam yang tidak lancar membaca atau boleh membaca tetapi tidak faham. Saya memberi penerangan kepada 22 orang Guru Besar agar mereka faham dan dapat menghayatinya. Pegawai saya Nordin dan Norosda ikut sekali. Mereka menjelaskan PROLIT ini dengan lebih terperinci lagi. Hajjah Fauziah binti Shamsuddin, GB Inderashah Bandar selaku pengarah projek turut membentangkan hasil pemerhatiannya terhadap program PROLIT di kelompok Chini dan Paloh Hinai minggu lepas. Semuanya baik, budak berminat belajar dan fasilitator juga seronok.

Untuk melangkah maju, kita tidak sanggup nak tinggalkan budak-budak yang tercicir itu, kita mahu jadikan mereka lulus dan pandai. Kalau mereka boleh beralih dari E kepada D dan yang D beralih ke C sudah cukup baik. Boleh mengecilkan GPS juga. Lebih mulia dari itu, haluannya kita cuba betulkan. Ingat, “Tersilap seinci di pelabuhan, akan tersasar beribu batu di lautan.”

Antah bukan setakat boleh jadi beras tetapi boleh dijadikan kueh yang kelihatan cantik dan sedap. Kita ulang balik apa yang emak kita lakukan dahulu, pasti berjaya. Semangat dan usaha melaksanakan PENDIDIKAN PEKAN MELANGKAH MAJU mesti dihayati dan dipikul bersama.

Sabtu 6/2/2010 akan berjalan;
  1. PROLIT BM di SK Seri Terentang
  2. PROLIT BM di SK Inderahah Bandar
  3. PROLIT BM di SK Peramu Jaya
  4. Kem Kecemerlangan BI di SK Ganchong
  5. Kem EASYMATHS di SMK Lepar

Mari kita hadir untuk beri sokongan.

Tuesday, February 2, 2010

Latihan Marathon Minda

Saya telah bercakap mengenai SUDOKU. Cara mudah mahu menjawab latihan SUDOKU ialah melihat bucu belakang surat khabar New Staits Time atau Berita Harian tiap-tiap hari. Jika tiada surat khabar itu apa nak buat? Jangan susah hati. Berkat Poh Paleh Pekan Digital Weh, masuk ke internet. Taip “NST Malaysia ON Line”. Akan terpaparlah satu opsyen Play Sudoku . Klik sahaja tempat itu. Boleh juga meneroka melalui SUDOKU ON LINE. Bebrapa saat kemudian terpaparlah seperti berikut;


Bacalah arahannya, cubalah menjawabnya hingga siap. Hari ini saya mengambil masa 7 minit sahaja menyudahkan permainan ini. Pah paleh weh bagus betul aktiviti ini, mengasah otak. Kepada pendidik Pekan jangan lengah-lengah lagi ketengahkan kepada anak didik kita. Berikut adalah Sudoku yang telah siap saya jawab. Inilah kesudahannya.



Kali ini saya nak ucap terima kasih banyak-banyak kepada anak saya Kak Teh (Nor Hanis binti Yahya) yang mengajar saya bagaimana nak mahirkan diri dalam pembinaan blog. Memang Kak Teh cerdik orangnya. Saya kena beri sijil penghargaan kepada dia. Lagi sekali saranan kepada Pengetua agar cepatkan penerapan hobi jawab SUDOKU kepada murid anda! Ini adalah satu cara nak cerdaskan otak anak-anak Pekan. Gunakan kelebihan kita di daerah Pekan ini.

Marathon lagi...

Malam ini mulai 9.45mlm , saya ke Komplek Rakan Muda Maran. Saya terus berjalan di atas paparan getah berputar. Saya melangkah dengan yakin selama 30 minit. Terasa sangat mencabar hendak menghabiskan perjalanan laju selama 30 minit itu. Terasa sengal betis tetapi saya tetap kuatkan semangat. Peluh mula keluar hingga basah baju. Baru terasa sihat. Meter menunjukkan saya berjalan sejauh 2.59 kilometer. Patutlah ayah walau telah berumur lebih 77 tahun tetap mahu menebas dan mahu membersih kebun. Ayah kata kalau tak keluar peluh akan terasa lemah dan sakit badan. Saya perlu lakukan latihan stemina mulai sekarang kerana kami staf PPD Pekan akan mendaki Gunung Kinabalu minggu ketiga Julai 2010 ini. Kami telah membuat tempahan dengan pihak berkuasa di sana. Pendakian ini sangat besar maknanya, adalah simbol Pendidikan Pekan Melangkah Maju. Kita juga mahu maju dalam penerokaan dan kekuatan semangat.


Monday, February 1, 2010

Ada Masalah Pasti Ada Penyelesaiannya

Tugas pertama hari ini melawat SMK Lepar. Nampak sekumpulan pelajar lelaki pakai pakaian PJ, kelihatan kemas di tengah padang. Sekumpulan pelajar di celah bangunan pula sedang mengikuti senaman berirama. Perjalanan kelas PJ sangat teratur, guru PJ memakai pakaian sukan yang lengkap, seronok melihat suasana p&p yang teratur ini. Saya berjumpa Puan Rahayu, GPK (Pengetua telah pindah) untuk berbincang program Kem Easymaths pada 6/2/2010 ini. Saya beritahu bahawa guru dari SMK Paloh Hinai akan datang memantau.

Seterusnya saya pergi ke SMK Chini pula. Berjumpa dengan Tuan Haji Razak, Pengetua dan dua orang guru kanan tingkatan enam. Kami berbincang mahu membentuk pasukan fasilitator PROLIT yang kedua. Pasukan ini akan mengambil alih tugas fasilitator SMK Ahmad bagi kelompok Chini dan Paloh Hinai. Mereka sangat bersetuju pelajar tingkatan enam lebih 50 orang itu dilibatkan. Langkah ini dapat menyelesaikan masalah pengangkutan.

Tanpa membuang masa saya pergi ke SK Chini 3 pula. Saya menerima laporan daripada Tuan Haji Ghani, Guru Besar dan cikgu Shamzul. Mereka mengatakan perjalanan PROLIT pada hari Sabtu sangat baik tetapi pada hari Ahad fasilitator tidak hadir. Mereka tidak hadir kerana tiada pengangkutan. Kami bersetuju menggunakan khidmat fasilitator dari SMK Chini. Tidak timbul masalah pengangkutan. Ini adalah satu penyelesaian yang pantas. Taklimat kepada fasilitator SMK Chini akan diadakan pada hari Jumaat 5/2/2010. Kami mengesan ada masalah dalam perjalanan. Kami ambil langkah baru untuk mengelakkan berlakunya kegagalan. Kami bersungguh-sungguh mahu menghapuskan masalah boleh membaca tetapi tidak faham apa yang dibaca.

Di pejabat, saya memanggil Zailani, Nordin dan Seha untuk membuat tindakikut perkara yang saya bincangkan di SMK Lepar, SMK Chini dan SK Chini 3. Semua persediaan berjalan lancar. Kami di peringkat C dan A dalam pengurusan strategik PDCA. Kami bekerja dalam satu pasukan yang jitu. Langkah-langkah pantas ini adalah mustahak agar PENDIDIKAN PEKAN MELANGKAH MAJU betul-betul menjadi kenyataan.

Kita perlu pandaikan kumpulan murid yang masih menghadapi masalah litersi ini. Kita mahu kumpulan ini akan berjaya lulus BM (Penulisan) dan BM (Pemahaman) UPSR nanti. Langkah ini juga akan memudahkan mereka apabila melangkah ke sekolah menengah nanti.